fb fb fb fb fb

Pelarasan tarif air perlu ada keseimbangan dengan perkhidmatan

Foto hiasan

LABUAN, 17 Januari- Pelaksanaan pelarasan tarif air domestik yang berkuatkuasa bermula 1 Februari depan perlu ada keseimbangan dengan perkhidmatan bekalan air berkualiti yang disalurkan kepada pengguna, khususnya di Labuan.
 
Ia berikutan perkara tersebut akan memberi kesan kenaikan ke atas bil bulanan rakyat terutama kepada golongan B40, namun pihak operator air perlu membekalkan air yang berkualiti secara berterusan.

Menerusi kenyataan yang dikeluarkan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN), pelarasan itu hanya melibatkan pengguna kategori domestik di Semananjung dan Wilayah Persekutuan Labuan.
 
Pelarasan tersebut dibuat untuk membangunkan infrastruktur sistem bekalan air demi menjamin perkhidmatan yang baik serta memenuhi permintaan pengguna.

Bagi Wan Mat Salleh yang ditemui RTM, perkara tersebut perlu seimbang dengan perkhidmatan yang disediakan.

"Pada pandangan saya bersetuju jika kenaikan tarif air mesti seimbang dengan perkhidmatan yang diberikan oleh pihak SPAN juga menambah baik perkhidmatan sedia ada dan memenuhi keperluan pengguna domestik capaian perkhidmatan itu lebih berkualiti dan bersihlah," katanya.

Sementara itu Mohamad Azuan Isack berpendapat penggunaan air perlu dihadkan bagi semua pengguna.

"Penggunaan air itu bergantung kepada masyarakat itu sendiri berikutan bil tersebut dibayar. Ia juga digunakan setiap hari, namun pengguna perlu mengehadkan penggunaan bagi mengelakkan peningkatan caj.

"Mungkin cara penggunaan itu perlu diubah," katanya.

Bagaimanapun pihak SPAN menyeru kepada pihak operator mencari langkah untuk meminimumkan impak kenaikan tersebut dengan memberikan bantuan kepada pengguna domestik secara bersasar seperti pemberian rebat.
 
Pelarasan itu akan dilaksanakan bawah mekanisme penetapan tarif (TSM) dan komponen tersebut akan diseragamkan untuk negeri-negeri di Semenanjung dan Labuan.

Sementara itu tarif air akan dikaji semula setiap tiga tahun untuk memastikan keselarasan dalam penentuan bayaran.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI