
KUALA LUMPUR, 22 Januari – Pesara perkhidmatan awam menzahirkan penghargaan dan rasa syukur kepada Kerajaan MADANI berhubung pelaksanaan pelarasan pencen Fasa Dua, yang disifatkan mampu meringankan beban golongan pesara.
- Pelarasan pencen Fasa 2 meringankan beban kos sara hidup dan urusan harian pesara.
- Lebih 950,000 pesara perkhidmatan awam menerima manfaat pelarasan sejak Januari.
- Pelaksanaan ini mencerminkan penghargaan kerajaan terhadap sumbangan dan kebajikan pesara.
Tinjauan RTM mendapati, pelarasan itu bukan sahaja membantu menampung peningkatan kos sara hidup, malah memberi kelegaan kepada pesara dalam mengurus keperluan harian serta keluarga.
Selain itu, mereka berharap sumbangan pesara perkhidmatan awam terus dihargai melalui kebajikan yang berterusan.
Menurut penerima pencen, Sano Sengari, pelarasan itu membuktikan kerajaan menghargai jasa pesara.
“Alhamdulillah terima kasih kepada Kerajaan Madani atas pelarasan pencen kakitangan awam khasnya pesara kerajaan yang menghargai sumbangan kami selama ini,” katanya.
Sementara itu, Zohara Gany Mhd Bathusha berkata, walaupun kenaikan itu kecil, ia tetap memberi kelegaan kepada pesara.
“Alhamdulillah syukur ada kenaikan walaupun sedikit, tapi ia dapat membantu pesara-pesara sekarang. Kami berharap pada masa akan datang kerajaan dapat menambah lagi kenaikan kepada pesara.” katanya.
Bagi Jamsari Ahmad, pelarasan pencen itu membantunya mengurus keperluan keluarga.
“Walaupun kenaikan tahunan sebelum ini telah dihentikan, saya tetap bersyukur. Sekarang ada kenaikan lagi, ia meringankan beban saya dan membantu cucu-cucu yang masih bersekolah.”
Seramai lebih 950,000 pesara perkhidmatan awam menerima manfaat pelarasan pencen Fasa 2 di bawah Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) yang bermula Januari ini.
Pelaksanaan itu mencerminkan keprihatinan kerajaan terhadap pesara yang pernah menyumbang kepada pembangunan negara serta pembentukan negara bangsa.