Pelarasan kuota BUDI95 langkah strategik kawal subsidi, stabilkan bekalan

Pensyarah Kanan Fakulti Ekonomi dan Pengurusan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Madya Dr Mustazar Mansur/RTM

KUALA LUMPUR, 27 Mac -Pelarasan kuota bulanan petrol bersubsidi BUDI MADANI RON95 (BUDI95) daripada 300 liter kepada 200 liter dilihat sebagai langkah strategik kerajaan dalam mengawal ketidaktentuan bekalan di pasaran global, selain memastikan kestabilan bekalan domestik.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pelarasan kuota dilihat langkah strategik kawal ketidaktentuan pasaran global dan pastikan kestabilan bekalan domestik.
  • Pendekatan pragmatik bersasar mengurangkan beban subsidi tanpa menaikkan harga secara langsung bagi majoriti pengguna.
  • Cadangan luaskan libat urus pengguna khususnya PKS dan golongan berpendapatan rendah untuk nilaikan kesan jangka pendek.
  • Had pengisian diesel membantu bendung ketirisan dan penyeludupan serta memudahkan pemantauan dan penguatkuasaan melalui sistem sedia ada.

Pensyarah Kanan Fakulti Ekonomi dan Pengurusan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Madya Dr Mustazar Mansur berkata, langkah itu merupakan pendekatan pragmatik bersasar, tanpa menjejaskan sebahagian besar pengguna melalui kenaikan harga secara langsung.

“Penetapan ini boleh dikatakan bersasar berdasarkan corak penggunaan. Kerajaan berdepan cabaran untuk menanggung beban subsidi, dalam masa sama menghadapi kekangan bekalan bahan api. Jadi, langkah ini diharap dapat membantu penjimatan subsidi,” katanya kepada pemberita RTM.

Bagaimanapun, beliau turut menyarankan kerajaan supaya memperluas sesi libat urus bersama pengguna yang memerlukan penggunaan melebihi had tersebut, khususnya perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta golongan berpendapatan rendah.

Ini bagi menilai kesan langsung pelaksanaan dasar tersebut dalam jangka pendek.

Selain itu, pengguna yang terkesan digalakkan mengambil langkah penyesuaian termasuk mengawal perbelanjaan dengan berhemah dengan menggunakan pengangkutan awam atau beralih kepada sumber tenaga alternatif seperti tenaga solar.

Mengulas lanjut, Prof Madya Dr Mustazar berkata penetapan had pengisian diesel, termasuk di Sabah, Sarawak dan Labuan, turut berpotensi membendung ketirisan serta aktiviti penyeludupan bahan api yang semakin berleluasa, susulan perbezaan harga ketara dengan negara jiran.

Katanya, langkah ini juga memudahkan pemantauan penggunaan melalui sistem sedia ada, sekali gus meningkatkan keberkesanan penguatkuasaan.

Semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan beberapa langkah rasionalisasi subsidi bahan api, termasuk pengurangan kuota BUDI95 yang berkuatkuasa 1 April 2026.