fb fb fb fb fb

Pelarasan gaji dijangka tarik minat golongan muda menyertai perkhidmatan awam

Datuk Seri Dr Ahmad Jailani Muhamed Yunus

IPOH, 17 Ogos- Pengumuman Perdana Menteri mengenai pelarasan gaji semalam dijangka mampu menarik minat golongan muda termasuk lepasan universiti untuk menyertai perkhidmatan awam.
 
Pengerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) Datuk Seri Dr Ahmad Jailani Muhamed Yunus berkata, perkara itu disebabkan peningkatan kadar gaji, selain faktor keterjaminan dalam sektor berkenaan.

Pihaknya juga bersedia sekiranya berlaku peningkatan permohonan tersebut termasuk menambah baik sistem permohonan sedia ada.

"Pada hari ini kalau kita tengok sistem SPA banyak menggunakan kemudahan dalam aplikasi. Jadi sistem inilah yang saya kira dapat menjadi satu platform yang lebih ramai individu untuk mohon.

"Kaedah saringan juga dapat dilakukan dengan lebih cepat dan lebih baik. Ia lebih menjimatkan masa, pendek kata persediaan itu telah ada" katanya.

Beliau yang juga Pengerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Kehakiman dan Perundangan (SPKP) berkata demikian ketika menghadiri Hari Terbuka SPA@Perak di Pusat Konvensyen Ipoh (ICC) yang turut dihadiri Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin.

1708 PRK SPA PMX 2Pengunjung pada menghadiri Hari Terbuka SPA@Perak di Pusat Konvensyen Ipoh (ICC)

Dalam pada itu 5,000 pengunjung disasar menghadiri Hari Terbuka Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA)@Perak yang berlangsung di Pusat Konvensyen Ipoh (ICC) hari ini.
 
Ahmad Jailani berkata, pelaksanaan itu merupakan usaha proaktif SPA untuk mendekati masyarakat selain memperluas program berkenaan ke seluruh negara.

Perkara itu bagi memberikan penerangan kepada masyarakat berhubung peluang kerjaya dalam perkhidmatan awam khususnya di kawasan yang masih mempunyai capaian internet terbatas termasuk perkampungan orang asli.

"Kita tahu mereka juga boleh mengikuti perkembangan ini menerusi portal, termasuk radio dan televisyen. Tetapi kali ini kita dapat bersemuka dengan mereka.

"Jadi kita percaya apabila kita dapat bersemuka dengan mereka, kita akan dapat soalan dan permasalahan yang dihadapi dan cuba menyelesaikannya," katanya lagi.

Sehingga kini, SPA telah melaksanakan 43 program jangkauan seluruh negara yang telah memberi manfaat kepada 4,975 pengunjung.
 
Semantara itu SPA menerima sebanyak 1.19 juta permohonan pada tahun 2023.
 
Antara pengisian Hari Terbuka SPA@Perak adalah perkhidmatan konsultasi SPA seperti khidmat nasihat, semakan status permohonan, pendaftaran dalam Sistem Pendaftaran Pekerjaan Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Malaysia (Sistem SPA9) serta simulasi temuduga secara fizikal.
 

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI