KUALA LUMPUR, 7 November - Keputusan melantik syarikat U Mobile Sdn Bhd bagi melaksanakan rangkaian kedua 5G perlu dihormati semua pihak, kerana pelantikan itu dilaksana berdasarkan tatakelola yang baik, bukan secara penganugerahan terus atau 'direct award'.
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) membuat penilaian sewajarnya melalui pelaksanaan proses tender dengan penetapan komitmen pengawalseliaan bagi memastikan pematuhan kepada standard ditetapkan.
Ia disusuli pemantauan yang teliti serta tindakan kawal selia dan penguatkuasaan terhadap sebarang ketidakpatuhan.
Malah menurut Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil, keputusan memilih syarikat dengan saham ekuiti majoriti dipegang syarikat asing pegangan asing dari Singapura itu tidak bertentangan dengan syarat khas lesen bagi suatu lesen individu.
Ini kerana pegangan ekuiti asingnya masih dalam lingkungan pematuhan syarat khas lesen yang dikeluarkan iaitu masih bawah keperluan am pegangan ekuiti asing lesen individu Pemberi Perkhidmatan Rangkaian (NSP) yang menetapkan kadar maksimum 49 peratus.
"Pemilihan syarikat pelaksana rangkaian 5G kedua dibuat berdasarkan gabungan beberapa faktor seperti rancangan perniagaan dan teknikal yang telah dikemukakan, rekod kadar aduan dan kepuasan pelanggan serta prestasi syarikat-syarikat ini dalam melaksanakan inisiatif infrastruktur lain.
"Ini termasuk faktor sumbangan kepada projek penyediaan perkhidmatan sejagat ataupun USP seperti Inisiatif Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA) fasa 1 dan projek penaiktarafan 4G yang selaras dengan komitmen MCMC untuk meningkatkan pengalaman pengguna dan kecemerlangan perkhidmatan," kata Fahmi.
Beliau menjawab pertanyaan wakil Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim di Dewan Rakyat.
Berhubung isu pegangan asing dalam U MObile, Fahmi mengulangi penegasannya bahawa proses pemilihan dan lantikan dilaksana secara telus oleh MCMC sebagai suatu badan yang bebas.
"Pihak MCMC secara bebas ye. Menteri tidak terlibat, Timbalan Menteri tidak terlibat dalam sebarang proses penilaian ini. Maka mereka telah meneliti dan memastikan bahawa isu pegangan saham seperti yang saya nyatakan iaitu tidak lebih daripada 49 peratus pegangan asing.
"Itu telah dipenuhi. Dan pihak U Mobile juga telah memaklumkan bahawa pegangan asing akan dikurangkan ke 20 peratus. Jadi, daripada aspek pegangan sama ada pegangan asing mahupun tempatan, tidak melanggar isu-isu ataupun melanggar syarat-syarat bagi keputusan yang telah dibuat," katanya lagi.