KUALA LUMPUR, 17 Disember- Program Jelajah Saya Digital (JSD) 2024 akan diperluas ke semua negeri dengan memberi tumpuan khusus di kawasan luar bandar.
Penganjuran itu dijangka akan memanfaatkan lebih 40,000 peserta di seluruh negara untuk menjana pendapatan menerusi ekonomi digital.
Jelas Pengerusi Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) Syed Ibrahim Syed Noh, ia akan dijayakan dengan kerjasama Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA).
"Kami telah berbincang dengan Pengerusi FELDA untuk mengadakan JSD bersama peneroka FELDA, mereka ini juga perlu ditingkatkan kemahiran digital," katanya selepas merasmikan siri terakhir program JSD bagi tahun 2023 yang berakhir di Selangor.
Program JSD yang bermula sejak 2021 telah menjelajah ke 51 lokasi dan melatih hampir 20,000 peserta dari seluruh negara.
Dalam pada itu, Syed Ibrahim berkata pelantikan Menteri Digital, Gobind Singh Deo merupakan satu langkah strategik bagi memberi tumpuan khusus kepada pemerkasaan digital negara.
Jelasnya, ia juga langkah yang tepat menjelang Tahun Teknologi 2024.