fb fb fb fb fb

Pelancongan percuma: Melaka kaji terperinci jadikan acara tahunan - Ab Rauf

Ab Rauf Yusoh

PENGKALAN RAMA, 25 Februari- Kajian terperinci akan dijalankan oleh Kerajaan Negeri Melaka bagi menjadikan tawaran kemasukan percuma di 11 lokasi pelancongan di negeri itu sebagai acara tahunan.

Ketua Menteri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata, kajian berkenaan penting kerana tawaran itu memerlukan implikasi kewangan yang besar.

Bagaimanapun, beliau berkata, tiada sebarang keputusan dibuat berkenaan perkara itu, setakat ini.

"Kita sedang mengkaji untuk dijadikan acara tahunan tetapi kita tidak ada keputusan lagi kerana pelbagai aspek kita kena ambil kira.

"(Tawaran percuma itu) dilancar sebagai Tahun Melawat Melaka, jadi kalau kita nak buat setiap tahun kita kena buat kajian terperinci," katanya ketika ditemui pemberita pada Majlis Penyampaian Hadiah Pertandingan Memancing dan Memasak Ikan Air Tawar di Dataran Pengkalan Rama di sini.

Katanya, sebanyak RM2.6 juta diperuntukkan bagi merealisasikan tawaran kemasukan percuma ke 11 lokasi pelancongan di negeri itu sempena sambutan Hari Memperingati Tarikh Pengisytiharan Kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu pada 20 Februari lalu.

Melaka menerima kira-kira 160,000 pengunjung di 11 lokasi terbabit pada hari berkenaan.

SITI AISHAH BINTI MD ISA