Pelan Tindakan Pembinaan 2026-2030, transformasi sektor pembinaan negara

Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 24 Februari Pelan Tindakan Pembinaan 2026-2030 (CAP30) dilancarkan sebagai usaha memperkukuh sektor pembinaan negara, sekali gus menjadi pemangkin utama kepada pencapaian aspirasi Dasar Pembinaan Negara 2021-2030 (NCP 2030).

RINGKASAN BERITA AI
  • Capai 80% skor QLASSIC dan SHASSIC serta 50% projek bernilai >RM40 juta memperoleh penarafan hijau.
  • Kurangkan kebergantungan pekerja asing melalui automasi, teknologi moden dan pembangunan kemahiran tempatan.
  • Perkukuh pendigitalan dan penerokaan tenaga alternatif termasuk tenaga nuklear untuk ekonomi rendah karbon dan keselamatan tenaga.

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata pelan bagi tempoh lima tahun itu digerakkan berdasarkan enam matlamat utama yang disasarkan untuk dicapai menjelang 2030.

“Antaranya termasuk pematuhan sepenuhnya terhadap pengurusan reka bentuk dan pembinaan, pencapaian sekurang-kurangnya 80 peratus skor Sistem Penilaian Kualiti dalam Pembinaan (QLASSIC) dan Sistem Penilaian Keselamatan dan Kesihatan dalam Pembinaan (SHASSIC) serta 50 peratus projek bangunan bernilai melebihi RM40 juta memperoleh penarafan hijau.”

“Selain itu, matlamat lain adalah untuk tersenarai dalam 20 teratas Indeks Daya Saing Global (IMD), pemain industri diiktiraf sekurang-kurangnya di tiga pasaran antarabangsa, dan 100 peratus personel binaan telah diakreditasi,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucaptama Majlis Pelancaran Pelan Tindakan 2026-2030 bagi memperkukuh pembinaan.

Tambah beliau, CAP30 turut merangkumi beberapa inisiatif strategik baharu yang selari dengan agenda nasional, termasuk penerokaan sumber tenaga alternatif dalam sektor pembinaan, khususnya penggunaan tenaga nuklear.

Langkah itu merupakan sebahagian daripada usaha memperkukuh keselamatan tenaga negara di samping menyokong peralihan ke arah ekonomi rendah karbon.

CAP30 turut menyokong usaha kerajaan mengurangkan kebergantungan kepada tenaga kerja asing melalui peningkatan automasi, penggunaan teknologi pembinaan moden serta pembangunan kemahiran tempatan.

Pendigitalan juga menjadi antara teras utama pelan itu yang meliputi penggunaan teknologi digital dalam perancangan, pelaksanaan dan pemantauan projek pembinaan.

Ini bagi meningkatkan kecekapan serta membentuk ekosistem industri yang lebih moden, berdaya tahan dan responsif terhadap perubahan.

Jelas beliau, pelaksanaan itu akan diterajui oleh pihak industri dan rakan strategik, serta disokong melalui tadbir urus secara bersepadu antara pihak kerajaan dan industri.