Pelan Tindakan Kos Sara Hidup Negara baharu perkukuh pendekatan rentas kementerian

Foto fail/RTM

KUALA LUMPUR 9 Februari – Pelan Tindakan Kos Sara Hidup Negara baharu yang akan dilancarkan pada suku kedua tahun ini bakal memastikan tindakan kerajaan dalam menangani tekanan kos sara hidup dilaksanakan secara lebih tersasar, menyeluruh dan berkesan, khususnya melibatkan golongan rentan di kawasan bandar.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pelan Tindakan Kos Sara Hidup Negara menyelaraskan tindakan rentas kementerian untuk intervensi lebih tersasar dan berkesan.
  • NACCOL guna pendekatan whole-of-nation dengan kluster makanan, kesihatan, pendidikan, perumahan, pengangkutan, pendapatan dan utiliti.
  • Fokus pelan termasuk sokongan bersepadu bagi golongan rentan bandar melalui perumahan, pendapatan, pendidikan dan keselamatan sosial.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali berkata kementeriannya kini berada di peringkat akhir penyediaan pelan berkenaan, yang dirangka sebagai kerangka nasional bagi memperkukuh perancangan, pelaksanaan dan pemantauan strategi berkaitan kos sara hidup.

Menurut beliau, pelan baharu tersebut terkandung dalam Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) sejak Julai tahun lalu sebagai usaha menyeluruh dalam menangani isu kos sara hidup yang merentas pelbagai sektor.

“Usaha untuk menangani isu kos sara hidup ini tidak boleh digalas oleh satu kementerian sahaja, sebaliknya perlu digerakkan secara rentas kementerian,” kata beliau ketika menggulung perbahasan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja bagi kementeriannya di Dewan Rakyat, hari ini.

Pelaksanaan pelan berkenaan diselaraskan melalui Majlis Tindakan Kos Sara Hidup Negara (NACCOL) yang mengguna pakai pendekatan ‘whole-of-nation’ merangkumi kluster makanan, kesihatan, pendidikan, perumahan, pengangkutan, pendapatan dan utiliti.

Tambah beliau, setiap kluster berkenaan mempunyai kementerian peneraju bagi memastikan pelaksanaan intervensi yang lebih fokus dan berimpak tinggi kepada rakyat.

Dalam pada itu, Datuk Armizan turut menyentuh isu kemiskinan bandar yang memerlukan pendekatan bersepadu kerana melibatkan pelbagai aspek kehidupan termasuk perumahan, kesihatan, pendidikan, peluang pekerjaan, pendapatan serta akses kepada barangan keperluan pada harga berpatutan.

Selain itu, pelbagai kementerian telah melaksanakan strategi mengikut bidang kuasa masing-masing bagi meningkatkan mobiliti sosial golongan rentan bandar, termasuk melalui penyediaan perumahan, pembangunan komuniti serta bantuan kebajikan sebagai jaringan keselamatan sosial.

Beliau menegaskan meskipun indikator makroekonomi seperti kadar inflasi negara berada pada tahap terkawal sejak tiga tahun kebelakangan ini, kerajaan tidak pernah berhenti merangka program dan langkah intervensi bagi membendung pergerakan harga barang dan perkhidmatan yang tidak terkawal.

“Pendekatan kerajaan adalah holistik, bukan sahaja menstabilkan harga, tetapi turut memberi tumpuan kepada usaha meningkatkan pendapatan boleh guna rakyat,” katanya.

Beliau menambah, KPDN melalui NACCOL akan terus memfokuskan isu teras rakyat dengan penglibatan pelbagai kementerian bagi memastikan setiap dasar dan inisiatif yang dilaksanakan benar-benar memberi manfaat kepada golongan sasar.