PADANG TERAP, 14 Jun - Perancangan program konsolidasi pekebun kecil yang melibatkan penyatuan tanah getah terbiar melalui model ladang berkelompok (kluster) menunjukkan perkembangan yang positif.
Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, pihaknya kini sedang menyusun strategi dan dalam proses perbincangan bersama pekebun kecil di kawasan-kawasan mempunyai ladang getah dalam skala yang kecil untuk digabungkan menjadi ladang getah berskala besar yang lebih ekonomik.
Beliau berkata, penggabungan tersebut hanya melibatkan pengurusan ladang getah dan tidak menjejaskan hak milik tanah pekebun kecil terlibat.
Menurutnya, program tersebut mampu meningkatkan hasil dan produktiviti getah tempatan serta mengurangkan import getah asli daripada luar negara yang kini mencecah RM7 billion ringgit.
"Produk-produk getah kita macam sarung tangan getah dihasilkan menerusi penyelidikan dan pembangunan R&D yang kita buat berpuluh tahun sebelum ini.
"Hasilnya, Malaysia hari ini merupakan salah satu daripada pengeksport getah terbesar, mencecah RM15 bilion eksport dunia," katanya kepada pemberita di sini.
Mac lalu, Datuk Seri Johari mengumumkan pelan program konsolidasi pekebun kecil sebagai antara strategi di bawah pelan pemulihan dan peningkatan pengeluaran 409,000 hektar tanaman getah terbiar di seluruh negara.
Pelan itu juga bertujuan meningkatkan pengeluaran dan produktiviti tanah, selain mampu meningkatkan pendapatan pekebun kecil.