ISKANDAR PUTERI, 28 Januari - Proses kertas kerja dan kajian projek Pelan Kemajuan Halal Negeri Johor 2030 kini di peringkat akhir dan dijangka akan dilancarkan pada Mac depan.
Exco Hal Ehwal Agama Islam Johor Mohd Fared Mohd Khalid berkata, pelan tersebut akan menjadi rangka strategik bagi menjadikan Johor sebagai hab halal utama bukan sahaja di peringkat nasional malah antarabangsa.
Ia merangkumi inisiatif memperkasakan industri tempatan serta memastikan pematuhan piawaian halal global bagi membina keyakinan pengguna terhadap produk keluaran negeri itu.
'Antaranya kita mahu permudahkan pemain industri kecil kita memohon halal dan antara produk yang kita sudah buat melalui Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAIJ) dan Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ yang mana 100 usahawan pertama akan diberikan bantuan RM5,000 untuk mereka membuat permohonan halal.
"Mereka diberikan bantuan daripada segi peralatan dan mereka ini akan dipantau dan diselia yang telah maju sebagai mentor mereka untuk pastikan dalam tempoh empat tahun itu mereka boleh bergerak dengan kuat," kata Mohd Fared selepas merasmikan Majlis Khatam Al-Quran Tadika Agama Johor 2024, di sini.
Dalam pembentangan Belanjawan Johor 2025 pada November lalu, kerajaan negeri memperuntukkan RM800,000 bagi pelaksanaan pelan berkenaan.
Inisiatif yang digerakkan melalui Perbadanan Islam Johor (PIJ) itu turut melibatkan komponen pembangunan seperti Pendidikan dan latihan Teknikal (TVET) Halal, Rumah Inap Desa Muslim, Sistem dan Platform Logistik Halal Bersepadu serta Sistem i-Mesra.