fb fb fb fb fb

Pelaksanaan undang-undang hudud perlu konsensus, utamakan perundangan syariah

Datuk Dr. Mohd Na'im Mokhtar / Foto Bernama

PUTRAJAYA, 8 Oktober - Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd Na'im Mokhtar menyatakan sokongan terhadap kenyataan Perdana Menteri bahawa pelaksanaan undang-undang hudud di Malaysia memerlukan konsensus yang melibatkan pelbagai pihak.

Menurutnya, pelaksanaan tersebut perlu mengambil kira prinsip Fiqh Al-Waqi’ (fiqh realiti) dan Fiqh Al-Awlawiyyat (keutamaan) dalam konteks masyarakat Malaysia.

"Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) kini sedang memperkukuh sistem perundangan dan kehakiman syariah secara menyeluruh.

"Ini termasuk usaha penggubalan, penyemakan, dan pindaan undang-undang syariah, penstrukturan Mahkamah Syariah, serta penyediaan latihan komprehensif untuk meningkatkan kompetensi hakim dan pegawai Mahkamah Syariah," katanya menerusi kenyataan.

Dalam wawancara yang disiarkan oleh sebuah portal berita tempatan, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa keamanan dan keselamatan masyarakat menjadi keutamaan dalam kerajaan MADANI.

Perdana Menteri turut menekankan bahawa hal ehwal berkaitan pendakwaan, penguatkuasaan syariah dan guaman syarie perlu diperkukuh terlebih dahulu sebelum pelaksanaan undang-undang hudud dapat dipertimbangkan secara lebih meluas.

Inisiatif itu merupakan sebahagian daripada Pelan Transformasi Al-Falah yang akan melalui proses sewajarnya, termasuk rujukan kepada Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) dan Majlis Raja-Raja sebelum sebarang pelaksanaan dilakukan.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN