
KUALA LUMPUR, 21 Januari – Usaha memperkukuh Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) di peringkat sekolah rendah hingga menengah disifatkan sebagai satu agenda yang tepat dan strategik dalam melahirkan modal insan berkemahiran tinggi bagi memenuhi keperluan ekonomi negara.
- Pelaksanaan TVET berperingkat dari sekolah rendah hingga menengah tarik minat pelajar sertai aliran vokasional.
- TVET dimasukkan dalam Rancangan Pendidikan Malaysia dan Rancangan Pendidikan Tinggi Malaysia tunjuk komitmen kerajaan.
- Graduan TVET berpotensi penuhi keperluan industri dengan kemahiran praktikal dan tingkatkan kebolehpasaran.
- Kerjasama antara sekolah, industri dan agensi diperlukan untuk pastikan kesinambungan laluan pendidikan TVET.
Timbalan Pengarah Institut Pembangunan dan Kemajuan Inklusif Malaysia (MINDA), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Anuar Ahmad berkata, pelaksanaan TVET secara berperingkat bermula daripada sekolah rendah, menengah rendah sehingga ke menengah atas mampu menarik lebih ramai pelajar untuk terlibat dalam aliran pendidikan tersebut.
Menurut beliau, agenda pengukuhan TVET yang digariskan dalam Rancangan Pendidikan Malaysia serta Rancangan Pendidikan Tinggi Malaysia menunjukkan komitmen serius kerajaan dalam memartabatkan bidang berkenaan sebagai salah satu teras utama pembangunan pendidikan negara.
“Kita memang mengharapkan supaya lebih ramai anak-anak kita terlibat dengan pendidikan TVET. Dengan adanya agenda TVET ini dalam perancangan pendidikan negara, saya yakin usaha untuk melahirkan lebih ramai graduan TVET dapat direalisasikan,” katanya kepada RTM.
Jelas beliau, graduan aliran TVET berpotensi besar untuk menyumbang secara langsung kepada sektor ekonomi negara, sejajar dengan keperluan industri yang semakin menuntut tenaga kerja berkemahiran dan bersifat praktikal.
“Modal insan yang dilahirkan melalui aliran TVET ini bukan sahaja memenuhi keperluan pasaran kerja, malah mampu meningkatkan daya saing ekonomi negara secara mampan,” katanya lagi.
Beliau berharap pengukuhan TVET di peringkat sekolah akan terus diperkasakan melalui kerjasama pelbagai pihak, termasuk institusi pendidikan, industri dan agensi berkaitan, bagi memastikan kesinambungan laluan pendidikan serta kebolehpasaran graduan pada masa hadapan.