fb fb fb fb fb

Pelaksanaan subsidi bersasar dijangka tidak tingkatkan kos kepada industri sedia ada

Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Seri Ahmad Maslan

KUALA LUMPUR, 27 November - Pelaksanaan pemberian subsidi secara bersasar dijangka tidak akan meningkatkan kos kepada industri sedia ada.

Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Seri Ahmad Maslan bagaimanapun berkata aspek pelaksanaan dan komunikasi berkesan kepada pihak industri sentiasa diberi perhatian oleh kerajaan.

Ini bagi mengelak berlaku kejutan kepada ekonomi.

"Bagi terus melindungi pengguna daripada kesan kenaikan harga sebenar minyak mentah di pasaran global, kerajaan masih mengekalkan harga siling petrol RON95 pada kadar RM2.05 seliter dan diesel pada kadar RM2.15 seliter sehingga kini, walaupun harga pasaran sebenar bagi kedua-dua produk telah melebihi paras harga siling yang ditetapkan," katanya pada sesi soal jawab di Dewan Negara, di sini.

Tambah Ahmad, pemberian subsidi bersasar yang dijangka dilaksana mulai Mac tahun depan akan dimulakan dengan diesel terlebih dahulu dan kemudiannya RON95 pada bulan seterusnya.

Beliau berkata, bagi mengelakkan kenaikan harga barang, subsidi diesel untuk kenderaan yang membawa barangan akan dikekalkan.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN