KUALA LUMPUR, 19 Mac- Kerajaan meluluskan pelaksanaan kadar gaji minimum baharu RM1,500 sebulan mulai 1 Mei 2022 di seluruh negara.
Jelas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob langkah tersebut bagi membantu terutamanya golongan B40 dalam mendepani kenaikan kos sara hidup.
"Kos sara hidup semakin meningkat. Ini akan menekan golongan B40. Saya mendengar perbahasan yang dibawa oleh para perwakilan dan keluhan rakyat di luar sana."
"Justeru, hari ini saya ingin mengumumkan di dalam dewan keramat ini, kerajaan meluluskan pelaksanaan kadar gaji minimum baharu RM1,500 sebulan mulai 1 Mei 2022 di seluruh negara," kata beliau dalam Sesi Penggulungan Perhimpunan Agung UMNO di Pusat Dagangan Kuala Lumpur.
Mengambil kira impak pelaksanaan tersebut ke atas Pengusaha perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).
Justeru, pelaksanaan gaji minimum itu hanya melibatkan majikan sektor swasta yang mempunyai lima orang pekerja ke atas.
(GAMBAR FAIL)
Sementara itu, kerajaan melalui Unit Perancang Ekonomi melaksanakan Program Pembasmian Kemiskinan Tegar Keluarga Malaysia (BMTKM) yang bertujuan menghapuskan miskin tegar pada tahun 2025.
Ia susulan pandemik COVID-19 yang telah menyebabkan ramai golongan M40 tergelincir kepada B40.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata Unit Kemiskinan khusus telah ditubuhkan di Unit Perancang Ekonomi (EPU), di negeri dan daerah.
Beliau mempengerusikan Jawatankuasa Pemandu (BMTKM) di peringkat Pusat bagi memantau perkembangan pelaksanaan program rintis yang dilaksanakan di 80 lokaliti seluruh negara.
"BMTKM akan melibatkan kerjasama strategik dengan semua pihak, Kerajaan Negeri, kementerian-kementerian, pemimpin setempat, universiti tempatan, pihak swasta dan pertubuhan masyarakat sivil (CSO). InsyaAllah, sasaran ini akan dapat dicapai akhir tahun 2025," tambahnya.