KUALA LUMPUR, 27 Mac - Pelaksanaan invois elektronik atau e-invois secara berperingkat dijangka akan meningkatkan kecekapan pengurusan pentadbiran percukaian negara.
Timbalan Menteri Kewangan, Lim Hui Ying berkata penyelarasan dan pelaporan data secara digital itu akan menggantikan penggunaan dokumen kertas.
Beliau berkata, ia sekali gus mewujudkan sistem pengoperasian yang lebih cekap berdasarkan piawaian industri serta meningkatkan tahap pematuhan cukai.
"Selaras Belanjawan 2024, kerajaan akan melaksanakan e-invois secara berperingkat mulai tahun ini yang akan membolehkan pengesanan ketidakpatuhan cukai dengan lebih berkesan.
"Walaubagaimanapun, Kementerian Kewangan akan memantau dari masa ke masa untuk memastikan semua dijalankan sewajarnya," katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Ahli Parlimen Parit, Tuan Muhammad Ismi Mat Taib di Dewan Rakyat, di sini.
E-invois akan dilaksana secara berperingkat, kepada pembayar cukai dengan pendapatan atau jualan tahunan melebihi RM100 juta bermula Ogos ini.
Manakala, bagi semua pembayar cukai dan juga pembayar cukai dengan pendapatan atau jualan tahunan melebihi RM25 juta sehingga RM100 juta, pelaksanannya dijangka pada Januari 2025.