
ALOR SETAR, 27 Mac – Langkah kerajaan untuk meneliti penetapan peraturan kerja lebih anjal termasuk pelaksanaan bekerja dari rumah (BDR) antara usaha membantu kerajaan bagi mengurangkan kesan atau impak akibat gangguan bekalan minyak dunia susulan konflik di Asia Barat.
- Penjawat awam kekal komited dan produktif walaupun bekerja dari rumah, memastikan tugasan dilaksanakan dengan baik.
- Setiap arahan agensi diikuti, terutama langkah penjimatan demi kepentingan bersama.
- Langkah dianggap proaktif untuk mengawal penggunaan bahan api selepas kajian oleh kerajaan.
- Pengalaman PKP cetus keyakinan BDR mampu jimat petrol, tenaga dan kos kemudahan pejabat.
Penjawat awam yang ditemui RTM, Muhammad Sayuti Syafie berkata, meskipun melakukan BDR komitmen akan sentiasa menjadi keutamaan dalam memastikan produktiviti kerja dapat dilaksanakan dengan baik.
Setiap arahan berkaitan akan sentiasa dipatuhi terutama melibatkan agensi masing-masing bagi memastikan dasar yang dilaksanakan kerajaan dapat dijayakan.
“Kami sebagai pegawai akan mengikut arahan kerajaan, khususnya dalam aspek penjimatan. Apa sahaja keputusan yang dibuat, kami perlu patuh demi kepentingan bersama.
“Melihat kepada situasi krisis semasa yang turut memberi kesan kepada banyak negara lain, Malaysia juga berkemungkinan terkesan. Jadi, kita perlu bersedia dan sebagai penjawat awam, saya rasa memang wajar untuk kami turut bersiap sedia menghadapi sebarang perubahan,” katanya.
Bagi Tengku Mohd Ikram Tengku Ibrahim pula, langkah tersebut disifatkan sebagai proaktif, khususnya dari segi mengawal penggunaan bahan api.
“Saya percaya kerajaan telah membuat kajian yang sewajarnya sebelum melaksanakan sebarang keputusan, termasuk mengambil kira keperluan setiap jabatan dan kementerian,” katanya.
Sementara itu pesara yang ditemui Mohd Nasir pula berpendapat, pengalaman bekerja ketika perintah kawalan pergerakan (PKP) lalu merupakan pengalaman yang tidak dilupakan namun membuktikan ramai individu masih boleh memberikan komitmen dalam melaksanakan tugasan dan bekerja seperti biasa.
“Saya rasa langkah ini bagus kerana berdasarkan pengalaman saya bekerja, ia banyak membantu dari segi keadaan cuaca, tenaga dan juga penggunaan petrol.
“Dalam situasi sekarang, apabila harga minyak meningkat, langkah ini dapat membantu penjimatan. Bukan sahaja menjimatkan bagi pekerja, malah kerajaan juga dapat mengurangkan penggunaan petrol serta kos kemudahan di tempat kerja masing-masing,” katanya.
Semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menerusi perutusan khas menyatakan bahawa cadangan menetapkan peraturan kerja lebih anjal seperti bekerja dari rumah sedang diteliti.