fb fb fb fb fb

Pelajar UniSZA maut kereta dirempuh di persimpangan lampu isyarat

Keadaan kereta mangsa yang remuk selepas terlibat dalam kemalangan di persimpangan lampu isyarat berhampiran JPJ Kuala Terengganu, hari ini. Foto RTM

KUALA TERENGGANU, 5 Januari - Seorang penuntut Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) maut selepas kereta yang dipandunya dirempuh sebuah kereta lain di persimpangan lampu isyarat berhampiran Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kuala Terengganu, tengah hari tadi.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, ACP Azli Mohd Noor berkata, dalam kejadian kira-kira jam 1.39 tengah hari itu, mangsa, Syakirah Hanan Mazli, 25, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

Mangsa yang merupakan pelajar Diploma Pendidikan Pasca Ijazah, Fakulti Pengajian Kontemporari Islam, difahamkan sedang memandu menuju ke Jalan Bukit Kecil selepas mengulang kaji pelajaran di Perpustakaan Awam Negeri Terengganu.

Semasa membuat belokan di persimpangan lampu isyarat yang dipercayai bertukar hijau, kereta Perodua Viva dipandu mangsa dirempuh sebuah kereta Honda dipandu lelaki berusia 32 tahun dari arah pusat bandar.

Rempuhan itu menyebabkan kedua-dua kenderaan remuk teruk, selain turut merosakkan sebatang tiang lampu isyarat.

Mayat mangsa dibawa ke Unit Forensik Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) Kuala Terengganu, manakala pemandu Honda terbabit kini dirawat di Zon Kuning hospital sama.

Sementara itu, Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Terengganu, Mohd Salleh Abdullah berkata, seramai 10 anggota mengambil masa kira-kira 20 minit untuk mengeluarkan mangsa yang tersepit di dalam kereta.

Beliau berkata, operasi berdepan kesukaran berikutan terdapat tumpahan petrol dan aliran elektrik di lokasi kejadian, dan pasukan penyelamat perlu memastikan keadaan selamat sebelum mengeluarkan mangsa dan menyerahkannya kepada pihak polis.

NUR SHARIDA SHAHABUDDIN