KUALA LUMPUR, 16 Oktober - Peranti inovatif diberi nama "BIOSENSE-NS1" hasil inovasi pelajar tahun akhir Kejuruteraan Bioperubatan Universiti Malaya (UM), Asiyah Mohamed Ashraf mampu mengesan jangkitan denggi awal dengan lebih pantas dan kos rendah.
Peranti itu hanya memerlukan setitis darah pada elektrod dan mampu mengesan protein NS1, penanda awal jangkitan denggi dengan keputusan diperoleh dalam masa 30 minit. Tempoh itu 144 kali lebih pantas berbanding kaedah konvensional seperti PCR.
Kos ujian dianggarkan RM5 setiap satu iaitu 18 kali lebih murah daripada ujian PCR dan tujuh kali lebih rendah berbanding kit ujian pantas sedia ada. Ciri mudah alih, ketepatan dan kos rendah menjadikan peranti itu berpotensi digunakan di klinik luar bandar dan fasiliti yang berdepan kekangan sumber.
"BIOSENSE-NS1 direka untuk menjadikan pengesanan awal denggi lebih cepat, mampu milik dan mudah dicapai semua lapisan masyarakat," kata Asiyah.
Asiyah mewakili UM pada Simposium Akademik Bersama UM-NUS 2025 yang berlangsung di Kelab Golf Diraja Perak, Ipoh, bersempena Kejohanan Golf Tunku Canselor UM-NUS kali ke-54.
Simposium itu turut meraikan lebih enam dekad kerjasama akademik antara UM dan Universiti Nasional Singapura (NUS).
Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah turut berkenaan menyempurnakan majlis berkenaan yang turut dihadiri Presiden Singapura yang juga Canselor NUS, Tharman Shanmugaratnam. Turut hadir Pesuruhjaya Tinggi Singapura ke Malaysia, Vanu Gopala Menon dan Naib Canselor UM, Prof Datuk Seri Dr Noor Azuan Abu Osman.
Pada simposium itu, Asiyah membentangkan penyelidikan tahun akhirnya bertajuk Nanocomposite-Based Electrochemical Biosensor for NS1 Dengue Virus Detection di bawah seliaan Profesor Ir. Dr Fatimah Ibrahim dari Jabatan Kejuruteraan Bioperubatan UM dan Pengarah Pusat Inovasi dalam Kejuruteraan Perubatan (CIME).
Projek itu turut menerima dana di bawah Geran Translasi Kementerian Pendidikan Tinggi (MO001-2024) bertajuk A New Approach of Decision Support System for Monitoring Risk in Dengue Patients Using Bioimpedance Vector Analysis (BIVA) Technique.
Dr. Fatimah menyifatkan usaha itu sebagai contoh bagaimana kejuruteraan dan inovasi boleh menghasilkan penyelesaian kos efektif terhadap cabaran kesihatan awam. "Adalah menggalakkan melihat penyelidik muda menyumbang kepada landskap teknologi perubatan negara yang semakin berkembang," katanya.
Projek berkenaan turut disenaraikan antara lima penyelidikan tahun akhir terbaik dalam persidangan UM UG iFEST 2025 yang melibatkan penyertaan pelajar seluruh kampus pada bulan Jun lalu.
Simposium itu menekankan kepentingan kerjasama rentas sempadan dalam penyelidikan kesihatan dan pembangunan teknologi sejajar visi UM dan NUS memperkasa inovasi serantau.
Asiyah menerangkan penyelidikannya kepada Presiden Singapura dan Sultan Perak