fb fb fb fb fb

Pelajar IKTBN maut nahas dua motosikal

Kemalangan melibatkan dua motosikal di Kilometer 58, Lebuhraya Utara Selatan (Arah Utara), di sini, malam tadi.

KLUANG, 13 Oktober- Seorang pelajar Institut Kemahiran Tinggi Belia Negara (IKTBN) Pagoh maut selepas terbabit kemalangan melibatkan dua motosikal di Kilometer 58, Lebuhraya Utara Selatan (Arah Utara), di sini, malam tadi.

Ketua Polis Daerah Kluang, ACP Bahrin Mohd Noh berkata mangsa, Adam Zulkiflee, 20, cedera parah di kepala dan badan, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian, manakala seorang lagi mangsa Irfan Danish Faizel Amrey, 19, yang menunggang motosikal jenis Yamaha 135 LC terselamat.

Beliau berkata siasatan awal mendapati kejadian berlaku ketika mangsa bersama seorang lagi penuntut IKTBN, menunggang dari Johor Bahru ke Pagoh.

"Setibanya di lokasi kejadian, salah seorang penunggang bertindak memberhentikan motosikal selepas mengelak sebuah kereta yang memasuki laluan ke Simpang Renggam secara mengejut.

"Tindakan tersebut menyebabkan mangsa yang menunggang dari arah belakang, melanggar tayar motosikal tersebut, sebelum hilang kawalan dan melanggar penghadang jalan," katanya menerusi kenyataan hari ini.

Ujar Bahrin, mayat dibawa ke Hospital Enche Besar Hajjah Khalsom, Kluang, untuk dibedah siasat, dan kes disiasat mengikut Seksyen  41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

ZEHRA BINTI ZAMBRI