
ALOR SETAR, 17 Februari – Seorang pelajar Tingkatan Lima ditemukan lemas ketika sedang mandi di Sungai Kampung Gelam, di sini kira-kira 5.30 petang tadi.
- Seorang pelajar Tingkatan Lima didapati lemas ketika mandi di Sungai Kampung Gelam, Alor Setar.
- Empat rakan mangsa bersama-sama berada di lokasi ketika kejadian dan cuba menyelamatkan mangsa.
- Pihak bomba menemui mayat pada pukul 6.41 petang dan tiada kecederaan luaran ditemui.
- Mayat dibawa ke Unit Forensik Hospital Sultanah Bahiyyah; bedah siasat dijadualkan esok pagi.
Ketua Polis Daerah Kota Setar, Penolong Pesuruhjaya Polis (ACP) Syed Basri Syed Ali menerusi kenyataan memaklumkan, Muhammad Aiman Mohd Zaini bersama empat rakannya dari Taman Derga Jaya, Alor Setar datang ke sungai berkenaan untuk bermandi manda.
“Ketika sedang mandi, mangsa disedari lemas dan tenggelam. Rakan mangsa yang menyedari kejadian itu cuba menyelamatkan mangsa, namun mangsa telah tenggelam di tengah sungai berkenaan.
“Rakan mangsa kemudian meminta bantuan orang awam untuk memaklumkan kejadian tersebut kepada pihak polis,” menurut kenyataan itu.
Mangsa merupakan pelajar di Sekolah Menengah Kebangsaan Darulaman, Alor Setar ditemukan pihak bomba pada pukul 6.41 petang. Hasil pemeriksaan luaran ke atas badan mangsa mendapati tiada sebarang kesan kecederaan.
Mangsa dibawa ke Unit Forensik Hospital Sultanah Bahiyyah, Alor Setar untuk proses pengecaman dan proses bedah siasat akan dijalankan pada pukul 10.00 pagi esok bagi mengenal pasti punca sebenar kematian.