Pelajar cemerlang hanya perlu bayar 5% pinjaman

Model baharu Pinjaman Boleh Ubah Berasaskan Merit Akademik (PBU Akademik)/Foto JPA

KUALA LUMPUR, 13 Januari Pelajar tajaan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) di bawah skim Pinjaman Boleh Ubah Berasaskan Merit Tempat Berkhidmat (PBU 2016) kini berpeluang menukar opsyen kepada model baharu Pinjaman Boleh Ubah Berasaskan Merit Akademik (PBU Akademik).

RINGKASAN BERITA AI
  • Pelajar tajaan JPA boleh tukar ke model PBU Akademik berdasarkan merit akademik.
  • Pelajar dengan PNGK 3.75 ke atas hanya perlu bayar 5% jumlah pinjaman jika bekerja di sektor swasta.
  • PBU Akademik bertujuan galakkan kecemerlangan dan meningkatkan peluang kerja graduan berkemahiran tinggi.
  • Permohonan dibuka dalam dua fasa; seramai 84,000 pelajar layak membuat pilihan.

Pengarah Bahagian Pembangunan Modal Insan JPA, Datuk Jamalulail Abu Bakar berkata, menerusi penstrukturan semula itu, pelajar tajaan yang memperoleh Purata Nilai Gred Keseluruhan (PNGK) 3.75 dan ke atas hanya perlu membayar 5 peratus daripada jumlah pinjaman, berbanding kadar minimum 25 peratus sebelum ini, sekiranya berkhidmat dalam sektor swasta.

Menurutnya, inisiatif berkenaan dilaksanakan bagi menjaga kebajikan pelajar selain memberi galakan untuk meningkatkan kecemerlangan akademik.

Pengarah Bahagian Pembangunan Modal Insan JPA, Datuk Jamalulail Abu Bakar/JPA

“Antara faktor utama ialah dapatan bahawa 99 peratus pelajar tajaan JPA memperoleh PNGK 3.0 ke atas. Melalui pelaksanaan model baharu ini, kita berharap motivasi pelajar akan meningkat dan sasaran 99 peratus memperoleh PNGK 3.75, berbanding sekitar 30 peratus sebelum ini, dapat dicapai.

“Selain itu, graduan dengan PNGK 3.75 mempunyai kelebihan untuk terus memasuki pasaran kerja kerana industri memerlukan tenaga kerja berkemahiran tinggi, sekali gus membantu mereka meningkatkan taraf hidup,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menjadi tetamu rancangan Selamat Pagi Malaysia di Angkasapuri Kota Media, hari ini.

Menurutnya, terdapat tiga kumpulan yang layak membuat pilihan di bawah opsyen tersebut, iaitu pelajar yang masih dalam pengajian, individu yang sedang membuat bayaran balik pinjaman, serta mereka yang sedang memenuhi kontrak perkhidmatan.

Pelajar tajaan yang memperoleh Purata Nilai Gred Keseluruhan (PNGK) 3.75 dan ke atas hanya perlu membayar 5% daripada jumlah pinjaman./JPA

Bagi pelaksanaan permohonan, fasa pertama dibuka bermula 5 Januari hingga 5 Februari, melibatkan pelajar tajaan JPA yang tamat tajaan pada atau selepas 1 Januari 2025.

Sementara itu, fasa kedua akan dibuka dari 1 Julai hingga 31 Ogos, membabitkan pelajar tajaan JPA yang tamat tajaan pada atau sebelum 31 Disember 2024.

Secara keseluruhan, seramai 84,000 pelajar tajaan JPA layak membuat pilihan di bawah skim PBU Akademik ini.