
SENAWANG, 26 Januari – Negeri Sembilan bakal menerima pelaburan berjumlah 20 billion ringgit menerusi pembinaan Kampus Pusat Data Hijau Nexus Yang di Taman Perindustrian NS Semiconductor Valley (NSSV) di sini.
- Pelaburan RM20 bilion untuk membina Kampus Pusat Data Hijau Nexus di NSSV, Senawang.
- Projek 157 ekar hiperskala sedia AI dengan kapasiti awal IT kira-kira 350 MW.
- Menjana 190 pekerjaan berkualiti; lokasinya strategik untuk sambungan Greater Kuala Lumpur dan hab selatan.
Menurut Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun, projek berkenaan dijangka siap pada suku pertama tahun hadapan.
“Dengan perancangan yang teliti serta pelaksanaan yang berfokus, Negeri Sembilan berpotensi besar untuk muncul sebagai antara hab utama data dan teknologi di Malaysia.
“Negeri ini bukan sahaja memiliki pelan pembangunan yang komprehensif menerusi MVV 2.0, malah turut diperkukuh dengan kerangka dasar yang kondusif bagi menyokong inovasi serta menarik pelaburan bernilai tinggi,” katanya selepas merasmikan majlis pecah tanah kampus pusat data hijau itu di sini.
Turut hadir Ketua Global Vena Nexus dan Ketua Pegawai Pelaburan Vena Group Simone Grasso.
Sebanyak 190 peluang pekerjaan berkualiti dan berkemahiran tinggi akan ditawarkan selepas projek fasa pertama siap dilaksanakan.
Projek berkenaan yang meliputi kawasan seluas 157 ekar akan menjadi kampus pusat data hiperskala dan sedia kecerdasan buatan (AI) dengan sasaran awal beban teknologi maklumat (IT) sekitar 350 megawatt (MW).
Ia penting bagi menyokong keperluan pengkomputeran awan serta kecerdasan buatan berketumpatan tinggi di rantau Asia Pasifik.
Dalam pada itu Simone berkata, lokasi strategik Negeri Sembilan turut menjadi faktor utama pelabur antarabangsa memilih negeri berkenaan untuk melaksanakan projek itu.
“Gabungan lokasi strategik di kawasan Greater Kuala Lumpur dengan hubungan ke hab selatan Johor dan Singapura menyediakan tahap kesalinghubungan yang sangat pantas.
“Pada masa yang sama, kerangka kawal selia yang kondusif dan positif membolehkan pembangunan dilaksanakan dengan cepat serta interaksi berkesan bersama pihak berkepentingan, sekali gus membolehkan kami merancang projek yang lebih kompleks daripada sekadar pusat data, termasuk integrasi bekalan tenaga,” katanya.