KUALA LUMPUR, 28 Mac- Pelaburan digital Malaysia mencecah RM46.22 bilion tahun lalu, lebih tinggi berbanding sasaran ditetapkan pada RM30 bilion.
Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC), Mahadhir Aziz berkata, jumlah pelaburan disumbangkan 256 syarikat dalam pelbagai kluster.
53 peratus daripada jumlah pelaburan disumbangkan perkhidmatan perniagaan global.
Manakala selebihnya, oleh kluster pusat data dan awan serta teknologi dan kandungan kreatif.
Sebanyak 22,258 pekerjaan bernilai tinggi dicipta tahun lalu, dengan kluster perkhidmatan perniagaan global menyumbang 51 peratus daripada jumlah terbabit.
Syarikat digital tempatan turut melakar pencapaian memberangsangkan dengan menghasilkan perolehan berjumlah RM8.87 bilion, 18 peratus lebih tinggi berbanding sasaran RM7.5 bilion.
MDEC turut memudahkan eksport digital bernilai RM3.18 bilion pada 2023, meningkat kira-kira 181 peratus daripada 2021.