
KLANG, 16 Mac – Kerajaan mengarahkan semua pelabuhan di negara ini menilai impak kenaikan harga minyak susulan ketidaktentuan geopolitik di Asia Barat yang berpotensi menjejaskan operasi logistik dan perdagangan antarabangsa.
- Konflik di Asia Barat menjejaskan rantaian bekalan global dan pergerakan perdagangan melalui laluan laut utama, termasuk gangguan ke atas Selat Hormuz.
- Pelabuhan diminta mengkaji impak kenaikan harga minyak dan mempertingkatkan kecekapan penggunaan peralatan serta operasi untuk mengoptimumkan kos tanpa menjejaskan perkhidmatan.
- Kerajaan umum langkah penjimatan termasuk pengurangan penggunaan bahan api dan penangguhan perbelanjaan kurang penting bagi mengawal kos operasi.
Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook berkata konflik di rantau berkenaan memberi kesan kepada rantaian bekalan global termasuk pergerakan perdagangan melalui laluan laut utama.
“Dalam konteks ini, kita menghadapi krisis kenaikan harga minyak disebabkan gangguan kepada pengangkutan laut di Selat Hormuz akibat konflik di Asia Barat.
“Saya telah mengarahkan semua pelabuhan untuk mengkaji impak kenaikan harga minyak dan mengambil langkah-langkah sewajarnya serta mempertingkatkan kecekapan penggunaan peralatan dan operasi, bagi memastikan kos operasi dapat dioptimumkan tanpa menjejaskan tahap perkhidmatan kepada pelanggan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Bangunan Annex Lembaga Pelabuhan Klang di sini hari ini.
Sehubungan itu, Anthony berkata kerajaan telah mengumumkan beberapa langkah penjimatan termasuk mengurangkan penggunaan bahan api serta menangguhkan perbelanjaan yang kurang penting.
Kementerian itu turut mengarahkan semua pelabuhan meningkatkan kecekapan operasi bagi memastikan kos dapat dikawal tanpa menjejaskan perkhidmatan kepada pelanggan.