fb fb fb fb fb

Pekerja pembinaan maut dihempap runtuhan konkrit

FOTO JBOM SARAWAK

KOTA SAMARAHAN, 10 Mei- Dua pekerja buruh binaan warga Indonesia maut akibat dihempap runtuhan konkrit dinding parit yang sedang dalam pembinaan di Lorong Samarindah 14B, Kota Samarahan, semalam.

Laporan Pusat Gerakan Operasi, PGO Bomba Sarawak memaklumkan, mangsa dikenali sebagai Tadi, 29 tahun dan Mustakim, 42 tahun.

PGO menerima panggilan kecemasan pada pukul 11.25 pagi dan menggegaskan sepasukan anggota dengan sebuah jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Kota Samarahan ke lokasi kejadian.

Setibanya di lokasi tersebut, kedua-dua mangsa masih terperangkap dalam runtuhan konkrit dengan anggaran ketinggian 1.5 meter.

Pihak bomba menjalankan operasi menyelamat dan mengeluarkan mangsa dengan bantuan pekerja binaan menggunakan jengkaut untuk akses penyelamatan.

Kedua-dua mangsa disahkan meninggal dunia oleh pihak Kementerian Kesihatan yang berada di lokasi kejadian.

Mayat kemudiannya diserah kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE