KUALA LUMPUR, 17 Mac- Seramai 100 anak asnaf dan tahfiz diraikan pada Program Malam Seribu Keberkatan Dan Kerahmatan Iftar anjuran Masjid Muhammadi Angkasapuri dengan kerjasama Yayasan PEKEMA.
Menurut Pengerusi Masjid Muhammadi Angkasapuri, Datuk Mohamed Irwan Mansor, program tersebut diadakan bagi mengimarahkan lagi bulan Ramadan disamping berkongsi rezeki dengan mereka yang memerlukan.
"Hari ini satu program majlis iftar bersama dengan Yayasan PEKEMA. Hari ini kita meraikan lebih kurang 100 anak yatim dan asnaf daripada beberapa pertubuhan sekitar Lembah Klang dan sumbangan diberikan oleh pihak PEKEMA.
"Ini adalah anjuran bersama Masjid Muhammadiah, tahun lepas juga kita membuat program yang sama bersama Yayasan PEKEMA anjuran Masjid Muhammadi RTM," kata Datuk Mohamed Irwan kepada pemberita, hari ini.
"Seperti tahun lepas juga, kita bekerjasama dengan Masjid Muhammadi, RTM untuk menjayakan program ini kerana tempatnya agak luas selain mereka sentiasa memberi kerjasama kepada kami dalam menjayakan program setiap tahun," kata Datuk Mohamed Nazari Noordin, Pengerusi Yayasan PEKEMA.
Sumbangan diberikan berupa kelengkapan persekolahan dan juga duit raya.
Kesemua anak asnaf dan tahfiz yang diraikan terdiri daripada Pertubuhan Kebajikan Baitul Hassan, Maahad Tahfiz Miftahul Ulum, Hulu Langat dan Maahad Tahfiz Al-Husni, Jeram.