fb fb fb fb fb

Pejabat NAIO, pacu negara ke arah pemerkasaan AI

JOHOR BAHRU, 27 Oktober- Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dijangka melancarkan Pejabat Kecerdasan Buatan (AI) Kebangsaan (NAIO) di Kuala Lumpur, 12 Disember depan.

Menurut Menteri Digital, Gobind Singh Deo, kewujudan pejabat berkenaan berperanan membantu kerajaan menggubal polisi bersesuaian untuk pembangunan AI selain penggubalan undang-undang AI.

"KIta akan dapatkan input daripada seluruh pemain industri berkaitan keperluan industri. Apabila kita bergerak ke arah AI ini, kita kena menyediakan negara kita untuk AI.

Bila kita laksanakan tugas tersebut, kita lihat kepada aspek bagaimana ia akan membawa nilai tambah atau kebaikan tetapi dalam masa masa juga, ada risiko yang terlibat. Jadi, kita kena lihat bagaimana nak seimbangkan," kata Gobind kepada pemberita.

Beliau ditemui selepas Persidangan Data Centre Supply Chain Ecosystem, hari ini.

Dalam jawapan bertulis di Parlimen pada Rabu lepas, Kementerian Digital memaklumkan penubuhan NAIO berupaya meningkatkan keupayaan AI negara dengan memupuk inovasi, mempromosikan kerjasama merentas sektor serta menyokong integrasi AI ke dalam rangka kerja kerajaan, industri dan masyarakat.

Selain itu, NAIO akan turut menerajui inisiatif yang memanfaatkan AI untuk mengukuhkan ekonomi digital, meningkatkan perkhidmatan awam dan menyumbang kepada pembangunan yang mampan.

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM