fb fb fb fb fb

PDRM terima peruntukan RM1.5 juta projek naik taraf

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim disambut orang ramai semasa hadir pada Majlis Ramah Mesra di Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Tengah

BUKIT MERTAJAM, 9 Mac - Sebanyak RM1.5 juta diperuntuk kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) Pulau Pinang bagi projek naik taraf perumahan kuarters di balai polis Seberang Jaya dan naik taraf surau di dalam Ibu Pejabat Polis daerah (IPD) Seberang Perai Tengah.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, daripada jumlah itu RM1 juta untuk penambahbaikan kuarters dan RM500,000 lagi bagi surau di IPD tersebut.

Pemberian itu adalah bagi memberi keselesaan tempat tinggal kepada anggota-anggota serta menjalankan ibadah dalam keadaan lebih kondusif.

"Dia minta untuk penghawa dingin dan kemudahan surau di sini. Saya tidak tahu berapa segera kalau Ketua Polis Daerah (OCPD) boleh hantar hari Isnin sebelum Jumaat saya boleh minta supaya diluluskan supaya dapat segerakan RM500,000 untuk surau disini, kita luluskan untuk tindakan segera RM1 juta untuk perumahan polis," kata Anwar ketika berucap dalam sesi ramah mesra bersama PDRM dan Masyarakat di Ibu Pejabat Polis daerah (IPD) Seberang Perai Tengah (SPT) di Bandar Perda, di sini.

Pada program itu beliau turut mengadakan lawatan di sekitar kawasan IPD terlibat termasuk perumahan pegawai dan anggota PDRM.

Dalam isu berlainan, Perdana Menteri menyatakan keyakinan terhadap kepimpinan PDRM untuk menangkas jenayah seksual yang dianggap semakin berleluasa pada ketika ini.

Katanya, Ketua Polis Negara (KPN) Tan Sri Razarudin Husain mampu menggalas tanggungjawab itu dalam memastikan kesemua anggotanya memberi kerjasama baik dalam usaha mengekang jenayah terbabit.

"Laporan gangguan seksual jenayah terhadap kanak-kanak, wanita terutama yang muda daripada keluarga sendiri, oleh guru, penjaga, ustaz di sekolah masih dilapor berleluasa. Ketua Polis Negara menyatakan akan bertindak tegas tanpa tolak ansur untuk menyelamatkan rakyat dan negara kita ini.

"Saya harap dengan penekanan itu saya tegaskan semula saya minta kerjasama rakan-rakan saudara-saudara anggota polis supaya lebih tangkas jangan jadikan negara kita ini tempat merosakkan kerana akhlak yang rendah," katanya.

Semalam beliau meminta PDRM untuk bertindak lebih tangkas dalam menangani jenayah seksual yang semakin berleluasa.

Hari ini beliau sekali lagi menegaskan perkara itu dan yakin dengan kepimpinan PDRM bagi mengatasinya.

TETITIA YUSOFF