fb fb fb fb fb

PDRM rekod 598, 635 kemalangan jalan raya seluruh negara pada tahun lalu

Gambar fail kemalangan/FOTO Bernama

KUALA LUMPUR, 1 Januari - Polis Diraja Malaysia (PDRM) merekodkan sebanyak 598, 635 kemalangan jalan raya di seluruh negara sejak 1 Januari hingga 30 Disember 2023.

Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman Datuk Mohd Nasri Omar berkata berdasarkan statistik itu negeri Selangor mencatatkan jumlah kemalangan tertinggi iatu sebanyak 173, 129 kemalangan.

Katanya, daripada jumlah keseluruhan itu sebanyak 12,417 kematian dilaporkan bagi tempoh sama.

"Johor pula mencatatkan kedua tertinggi iaitu sebanyak 87, 370 diikuti Kuala Lumpur (72,701), Pulau Pinang (53,289), Perak (41,578) dan Negeri Sembilan (28,822).

"Selangor juga mencatatkan jumlah kematian tertinggi sebanyak 1,059 mangsa, diikuti Johor (1,045), Perak (683), Kedah (576) dan Sarawak (429)," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media Op Ambang Tahun Baharu di Plaza Tol Jalan Duta awal pagi tadi.

Justeru beliau menyeru pengguna jalan raya agar sentiasa memandu secara berhemah.

"Patuhi peraturan jalan raya bagi mengelakkan berlakunya kemalangan," katanya.

Terdahulu sempena Ambang Tahun Baharu, seramai 4,378 anggota dan pegawai JSPT terlibat dalam Operasi Ambang Tahun Baru 2024 di seluruh negara bermula pukul 8 malam tadi.

GRACE AISYAH KEDAYAN