
KUCHING, 8 Mac – Polis Diraja Malaysia (PDRM) disaran terus komited dalam membanteras kegiatan judi dalam talian serta penyalahgunaan dadah di Sarawak.
- Mengakui cabaran penguatkuasaan, beliau menyeru kerjasama erat antara semua pihak untuk menangani isu keselamatan.
- Berganding bahu mampu mengekang aktiviti judi dan masalah penyalahgunaan dadah yang semakin meningkat.
- Kerajaan sedang mengkaji kaedah terbaik bagi memperkukuh kapasiti agensi penguatkuasaan.
- PDRM perlu tingkatkan kecekapan penggunaan teknologi terkini bagi membendung jenayah siber dan kegiatan dadah.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof berkata beliau memahami cabaran yang dihadapi pasukan penguat kuasa dalam menangani isu berkenaan, namun ia mampu ditangani sekiranya semua pihak berganding bahu.
“Ini merupakan cabaran untuk kita semua dan saya memahami tugas polis dalam menguatkuasakan undang-undang bukan perkara mudah. Tetapi jika kita dapat berganding bahu bersama, bukan sahaja kita dapat menangani masalah judi malah isu dadah yang semakin meningkat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Solat Isyak dan Tarawih bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) Sarawak di sini.
Fadillah berkata kerajaan sedang mengkaji kaedah terbaik untuk memperkukuh usaha menangani isu berkenaan, khususnya dari aspek kapasiti penguatkuasaan agensi berkaitan.
Sehubungan itu, beliau berkata PDRM perlu meningkatkan kecekapan penggunaan teknologi terkini bagi membendung jenayah siber serta kegiatan berkaitan dadah.