KUALA LUMPUR, 15 Mac -Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Polis Diraja Malaysia akan menyiarkan maklumat statistik jumlah kemalangan jalan raya dan kematian secara harian. Makluman itu berdasarkan hasil keputusan mesyuarat kabinet mengenai kesesakan dan keselamatan jalan raya.
Semalam (14 Mac 2024) JSPT melaporkan sebanyak 1,999 kes kemalangan jalan raya direkodkan di seluruh negara, melibatkan sebanyak 12 kes kematian.
Menurut Pengarahnya, Datuk Mohd Azman Ahmad Sapri, dalam satu kenyataan, penyiaran data statistik berkenaan adalah sebagai langkah meningkatkan kesedaran orang ramai tentang kes kemalangan jalan raya yang berlaku setiap hari.
"Statistik berkaitan kemalangan jalan raya dan kematian akan dipaparkan secara masa nyata dengan mengambil data kemalangan yang berlaku pada hari sebelumnya".
"Selain itu, penyiaran berbentuk info grafik akan dimuat naik di laman sosial rasmi JSPT bermula 15 Mac 2024 sebelum atau pada pukul 2.00 petang,"jelas Datuk Mohd Azman dalam kenyataan tersebut.
Sehubungan itu, Datuk Mohd Azman menyeru agar semua pengguna jalan raya sentiasa mengikuti peraturan yang telah ditetapkan bagi memastikan undang-undang jalan raya dipatuhi tanpa kompromi.