fb fb fb fb fb

PDRM jamin keselamatan, kelancaran trafik sempena Thaipusam

Polis Diraja Malaysia (PDRM) memberi jaminan keselamatan dan kelancaran lalu lintas sempena sambutan Thaipusam esok di sekitar Batu Caves / Foto RTM

GOMBAK, 10 Februari – Polis Diraja Malaysia (PDRM) memberi jaminan keselamatan dan kelancaran lalu lintas sempena sambutan Thaipusam esok di sekitar Batu Caves.

Timbalan Pengarah Perancangan Strategik, Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti, Datuk K. Kumaran berkata anggota polis dan pegawai telah ditempatkan di lokasi strategik bagi memastikan kelancaran perayaan.

"Kita sudah menempatkan anggota keselamatan di sekitar kawasan Batu Caves, bukan sahaja di dalam tetapi juga di luar, bagi memastikan keselamatan pengunjung dan kelancaran lalu lintas.

"Kita juga ada anggota berpakaian seragam biru yang bertugas untuk mencegah kes curi motosikal serta jenayah lain, termasuk pergaduhan,"* katanya.

Beliau berkata demikian ketika menghadiri Program ‘Community Policing Thaneer Panthal’ di Kuil Sri Subramaniar Swamy, Batu Caves, di sini.

Kumaran turut menasihatkan orang ramai supaya berwaspada terhadap penyeluk saku, selain meminta mereka segera mendapatkan bantuan di markas PDRM dalam kawasan kuil sekiranya menjadi mangsa jenayah.

Seramai 1,306 anggota polis dari pelbagai kontinjen telah ditugaskan sejak Sabtu lalu hingga 14 Februari bagi memastikan sambutan Thaipusam berlangsung dengan aman dan lancar.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN