fb fb fb fb fb

PDRM beri diskaun saman trafik 50 peratus

Orang ramai mengambil peluang untuk membayar saman di kaunter saman trafik PDRM

KUALA LUMPUR, 9 Disember- Operasi kaunter diskaun 50 peratus saman trafik Polis Diraja Malaysia (PDRM) sempena Program Setahun Bersama Kerajaan MADANI di pekarangan Stadium Nasional Bukit Jalil dilanjutkan sehingga pukul 9.00 malam ini.

PDRM menyediakan 14 kaunter bayaran saman secara tunai, selain memberi pilihan kepada pengunjung untuk membayar saman secara dalam talian menggunakan kod QR.

Sulina Ali Muhammad turut tidak melepaskan peluang melunaskan pembayaran saman trafik PDRM itu sejak dilaksanakan semalam.

"Baguslah sebab dapat diskaun ini untuk membayar saman, tetapi kalau boleh nak dua tahun sekali. Sebab lagi senang," katanya.

Sementara itu Firdaus Mahzan berkata, "pemberian diskaun 50 peratus bagi pembayaran saman ini boleh membantu rakyat untuk melunaskan saman."

Bagi Faridah Hanim yang ditemui RTM pula berkata, "saya merasakan ini satu penghargaan dan peluang yang cukup baik kepada semua pengguna jalan raya untuk membayar saman. Pemberian 50 peratus diskaun ini agak tinggi buat rakyat untuk membayar saman."

Setakat hari ini, lebih 7,000 orang ramai memanfaatkan kaunter yang dibuka di Stadium Nasional Bukit Jalil.

Bagaimanapun diskaun itu tidak termasuk kesalahan lalu lintas bagi tahun 2023 yang melibatkan saman kemalangan, kes mahkamah yang berstatus waran tangkap atau masih dalam perbicaraan dan kesalahan tidak boleh dikompaun.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI