fb fb fb fb fb

PDRM Bentong perkasa kempen kesedaran penipuan dalam talian

(FOTO RTM)

BENTONG, 30 Januari-Polis Diraja Malaysia (PDRM) meneruskan usaha untuk memberi kesedaran mengenai penipuan dalam talian, bagi mengekang lebih ramai orang daripada menjadi mangsa dan mengalami kerugian.

Justeru, Persatuan Suri dan Anggota Wanita Perkhidmatan Awam Malaysia (PUSPANITA), Resort World Genting dan PDRM Daerah Bentong bekerjasama memberi pendedahan tentang modus operandi yang digunakan sindiket penipuan dalam talian kepada semua ahli Puspanita Daerah Bentong.

Ahli Parlimen Bentong, Young Syefura Othman berkata, kerugian yang dialami mangsa turut mengundang masalah kepada individu atau keluarga, khusunya dalam aspek kewangan.

Malah, ia secara tidak langsung memberi impak negatif ke atas ekonomi negara.

"Jadi ini adalah program yang sangat baik yang dijalankan oleh PUSPANITA Daerah Bentong. Saya berharap program seperti ini dapat diteruskan bagi memberi peringatan dan sentiasa waspada bukan sahaja kepada wanita tetapi juga kepada semua", katanya selepas merasmikan Program taklimat Scammer Tipu Alam Maya dan Kekuatan Wanita Abad Ini serta Majlis Penyerahan Pes Asam Pedas Dan Rendang Betawi Anjuran Puspanita Bentong dan Resort World Berhad,kepada ibu tunggal dan rumah anak yatim di sini.

Sementara itu, Ketua Polis Bentong, Superitenden Zaiham Mohd Kahar berkata, berdasarkan statistik tahun lalu, 251 kertas siasatan dibuka dengan jumlah kerugian bernilai RM9 juta termasuk kes penipuan yang di terima di daerah itu.

Beliau berkata, PDRM bekerjasama dengan institusi perbankan dalam memastikan siasatan kes, khususnya membabitkan penggunaan ‘keldai akaun’ dapat diselesaikan lebih cepat mengikut peruntukan Kanun Keseksaan dan akta berkaitan.


(Ahli Parlimen Bentong, Young Syefura Othman/FOTO RTM)

Media Baharu