KOTA BHARU, 28 November- Polis Diraja Malaysia (PDRM) mempunyai 60,000 perjawatan anggota dan pegawai polis bantuan di seluruh negara.
Pengarah Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) Bukit Aman, Datuk Seri Aidi Ismail berkata, walau bagaimanapun, daripada jumlah tersebut, setakat ini kurang 50 peratus atau kira-kira 27,000 sahaja polis bantuan yang telah dilantik.
Menurut Aidi, agensi polis bantuan perlu mengisi kekosongan itu berikutan peranan polis bantuan yang banyak membantu anggota PDRM dalam menjaga keselamatan.
“Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti sentiasa mengadakan khidmat nasihat kepada agensi-agensi yang belum dapat mengisi kekosongan itu dengan memberikan penjelasan ataupun memohon untuk distruktur semula agensi mereka supaya jumlah yang diluluskan itu dapat diselaraskan mengikut keperluan", katanya.
Mengulas lanjut katanya, agensi polis bantuan yang belum berdaftar sebagai Ahli MAPA perlu berbuat demikian kerana ia merupakan satu platform terbaik bagi menyelesaikan sebarang isu atau masalah secara bersama sekali gus memastikan anggota polis bantuan dapat melaksanakan tugas secara lebih profesional.
Dalam pada itu, Datuk Seri Aidi berkata, PDRM memberi amaran kepada agensi dan syarikat supaya tidak menyalahgunakan polis bantuan untuk mengaut keuntungan kepada syarikat mereka.
Katanya, sijil pelantikan syarikat terbabit boleh dibatalkan serta merta jika terdapat aduan berkaitan.
“Mungkin ada yang syarikat atau agensi yang tidak mahu mohon tapi cuba menyewakan agensi seperti mana digunakan oleh syarikat sekuriti.
"Jadi untuk polis bantuan kita tak benarkan untuk diperdagangkan dikomesialkan untuk menjaga atau digunakan sebagai pengawal kepada mana-mana syarikat atau agensi", katanya demikian kepada pemberita selepas merasmikan penutupan Persidangan Tahunan Persatuan Polis Bantuan Malaysia (MAPA) kali ke 34 tahun 2023 di sini.