
KANGAR, 7 Februari– Pesta Angin Timur (PAT) 2026 kini memasuki edisi ke-14 penganjurannya, sekali gus memperkukuh kedudukannya sebagai antara festival budaya dan tradisi utama di negeri Perlis.
- PAT 2026 kukuhkan kedudukan sebagai festival budaya dan tradisi utama negeri Perlis.
- Pengagihan lokasi dataran dan bendang pelihara identiti bendang serta memudahkan pengurusan cuaca.
- Program baharu dan tradisional dipertandingkan untuk tarik pengunjung dan promosikan pelancongan budaya.
Berlangsung di Dataran Kangar Jaya, kebanyakan aktiviti dipusatkan di dataran utama, manakala kawasan bendang dikekalkan sebagai pusat aktiviti tradisional yang melambangkan identiti unik festival berkenaan.
Ketua Pengarah Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara, Amran Mohd Haris berkata, pengagihan lokasi tersebut bertujuan memastikan identiti bendang terus dipelihara, di samping berfungsi sebagai langkah mitigasi bagi melancarkan perjalanan program sekiranya berdepan cuaca tidak menentu.
“Jika kita lihat semasa majlis pelancaran, Tuanku telah melepaskan acara seperti pertandingan menangkap belut dan pertandingan memanjat tiang licin yang sememangnya ikonik dan sinonim dengan aktiviti selepas musim menuai di bendang.”
“Dengan pembaharuan yang dimaklumkan oleh YAB Menteri Besar, pengalaman menangguhkan program akibat cuaca dapat dielakkan dan pelaksanaan program PAT 2026 dilihat sangat kemas serta berjaya,” kata Amran kepada pemberita, hari ini.
Acara perasmian PAT 2026 disempurnakan oleh Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail.
Pesta Angin Timur 2026 berlangsung selama tiga hari bermula Jumaat hingga esok, Ahad.
Pelbagai acara tradisional diteruskan, manakala pengisian baharu turut diperkenalkan, termasuk sukan Silambam dan Gasing Pangkah.
Kerajaan negeri menyasarkan kehadiran seramai 300,000 pengunjung pada edisi kali ini, lebih tinggi berbanding penganjuran sebelumnya, sekali gus menyokong usaha mempromosikan Perlis sebagai destinasi pelancongan berteraskan budaya dan tradisi.