KUALA LUMPUR, 12 November- Pasukan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) muncul johan keseluruhan pertandingan antarabangsa World Robot Olympiad (WRO) 2023 di Panama, baru-baru ini.
Menerusi Facebook, Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek berkata kemenangan itu adalah penghormatan buat Malaysia yang menyaksikan Jalur Gemilang berkibar di pentas antarabangsa.
"Kejayaan itu merupakan kejuaraan kali ke-11 daripada 19 kali penyertaan Malaysia dalam WRO.
"Pasukan negara berjaya meraih empat pingat emas dan dua pingat perak daripada keseluruhan tujuh kategori yang dipertandingkan tahun ini.
"Malaysia diwakili oleh 49 peserta dalam kalangan murid sekolah rendah dan menengah serta pelajar Institusi Pendidikan Guru (IPG)," kata Fadhlina.