Pasukan khas teliti kaedah pelantikan Datuk Bandar KL

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Datuk Lo Su Fui / Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 12 Februari Kajian sedang dilaksanakan Kerajaan bagi meneliti perbezaan kaedah pelantikan Datuk Bandar dan Ahli Majlis Bandaraya Kuala Lumpur dengan beberapa negara lain.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kajian dijalankan Kementerian Wilayah untuk bandingkan kaedah pelantikan Datuk Bandar dan ahli Majlis dengan negara lain.
  • Pasukan khas melibatkan pakar perundangan, perancangan bandar dan ahli sains politik mengetuai kajian.
  • Hasil kajian akan disemak bersama pelbagai pemegang taruh untuk pelaksanaan cadangan PAC.
  • Jabatan Wilayah Persekutuan memantau keperluan penyelarasan perundangan demi Reformasi Institusi KL.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Datuk Lo Su Fui berkata kajian tersebut diterajui oleh pasukan khas termasuk pakar perundangan, perancangan Bandar
dan ahli Sains Politik.

Hasil kajian akan disemak dan diteliti dengan pelbagai pemegang taruh yang berkepentingan.

“Ini bertujuan untuk menyantuni penemuan dan syor Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) ke arah pengurusan pembangunan dan perbandaran di Kuala Lumpur yang lebih baik dan berkesan. Berdasarkan struktur sedia ada Hal Ehwal Perbandaran Kuala Lumpur ditadbir oleh Datuk Bandar Kuala Lumpur,” katanya dalam sesi soal jawab pada persidangan Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab pertanyaan Ahli Parlimen Setiawangsa, Nik Nazmi Nik Ahmad yang ingin tahu mengenai pendirian kerajaan terhadap syor jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) agar Dewan Bandaraya Kuala Lumpur melantik ahli Majlis sebagaimana pihak-pihak berkuasa lain di seluruh negara sebagai semak dan imbang kepada kuasa Datuk Bandar.

Menurutnya, Jabatan Wilayah Persekutuan (JWP) juga mengambil perhatian berhubung keperluan mana-mana perundangan untuk diselaraskan dengan hasrat merealisasikan Reformasi Institusi di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.