KANGAR, 16 April – Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Negeri Perlis menasihati orang ramai agar memastikan ketulenan mangga Harum Manis sebelum membuat sebarang pembelian, terutamanya secara dalam talian.
Langkah tersebut bertujuan mengelakkan pembeli, khususnya dari luar Perlis, daripada tertipu dengan Harum Manis tiruan atau penjual yang menyamar sebagai pengusaha sah, termasuk scammer yang mengambil kesempatan melalui platform dalam talian.
Menurut Pengarah FAMA Negeri Perlis, Mohd Anzara Azizan, pihaknya kini giat menjalankan pemantauan dan penguatkuasaan bersama beberapa agensi berkaitan seperti Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Majlis Perbandaran Kangar (MPK) dan Jabatan Pertanian Negeri Perlis.
Katanya, pemantauan itu dilakukan susulan beberapa aduan yang diterima sejak musim penjualan Harum Manis bermula pada Mac lalu, khususnya melibatkan pembelian secara dalam talian yang menyaksikan pembeli telah membuat bayaran tetapi tidak menerima mangga yang dijanjikan.
Beliau turut menggalakkan pengguna untuk membuat pembelian hanya daripada pengusaha Harum Manis yang berdaftar, termasuk melalui platform Agrobazaar Online atau secara langsung dari ladang-ladang sah yang diusahakan oleh hampir 3,000 pengusaha di seluruh negeri Perlis.