PENAMPANG, 4 Julai - Banjir kilat yang melanda beberapa daerah di negeri ini pulih sepenuhnya.
Kesemua empat Pusat Pemindahan Sementara (PPS) yang dibuka di tiga daerah juga sudah diisytihar tutup petang semalam.
Kini, tumpuan diberikan kepada kerja-kerja pembersihan pascabanjir di kawasan terlibat.
Tinjauan Berita RTM ke daerah itu mendapati rata-rata penduduk terjejas banjir berdepan tugas berat untuk membersihkan kediaman masing-masing.
"Sebenarnya kawasan di sini memang selalu banjir, cuma tidak sangka akan seteruk ini. Sekarang ini pun masih lagi memilih barangan mana yang boleh dipakai dan kena buang," kata Jorgie Flynn Ganai.
"Memang rasa sedih sebab ini pertama kali berlaku dan sangat teruk. Nak bersihkan kawasan pun kena ambil masa juga sebab keadaan licin," kata Angel Wong.
"Hari ini kena bersihkan kawasan rumah sampai ke malam. Selama ni tak pernah lagi banjir sampai aras pinggang walaupun sudah lebih 60 tahun tinggal di sini," kata Luther Siambun.
Daerah Penampang, antara kawasan paling terjejas teruk akibat bencana banjir selepas hujan berterusan petang Ahad lalu.
Bencana itu turut merosakkan harta benda serta mengorbankan seorang penduduk.