PETALING JAYA, 14 Mei- Pasaran hartanah Malaysia dalam usaha menuju pemulihan kata Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming.
Perkara itu dibuktikan dengan peningkatan jumlah dan nilai urus niaga hartanah yang mencatatkan 399,000 transaksi hartanah bernilai kira-kira RM200 bilion pada 2023.
Dalam ucaptama bersempena dengan Persidangan Perumahan Serantau Rehda Institute 2024, ia mencatatkan pertumbuhan sebanyak 2.5 peratus dari segi jumlah dan 9.9 peratus dalam nilai ringgit.
"Inilah tanda pemulihan yang baik, kerana saya sangat pasti pasaran hartanah Malaysia tidak terapung. Kami mungkin lambat tetapi ada pertumbuhan kekal dalam pasaran hartanah Malaysia," katanya di sini.
Nga turut menjelaskan, sejak pentadbiran kerajaan MADANI, hartanah tidak terjual yang telah siap atau lambakan hartanah telah menyusut iaitu kurang daripada 24,000 unit berbanding 37,066, peningkatan lebih 40 peratus.
Ia juga menunjukkan Malaysia mempunyai daya menarik dalam kalangan ekspatriat, dengan bilangan permit kerja yang dikeluarkan oleh imigresen kepada ekspatriat berkemahiran tinggi meningkat kepada 154,115 pada 2023 berbanding 110,819 pada 2022.
Beliau turut menjangkakan prestasi yang stabil dalam pasaran hartanah akan membantu meningkatkan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).
Sementara itu, sebanyak 1,340 lesen pemaju (DL) dan 2,631 permit pengiklanan dan penjualan (AP) melibatkan 195,958 unit rumah diluluskan untuk pembangunan telah dikeluarkan kepada pemaju pada tahun 2023.
Daripada jumlah itu, 64,024 unit atau 32.7 peratus berada dalam kategori mampu milik dengan harga jualan bawah RM300,000.
Dalam perkembangan lain sebanyak 139 kawasan meliputi 1,300 ekar tanah di Kuala Lumpur dikenal pasti berpotensi untuk pembangunan semula bandar.
91 daripada jumlah itu merupakan tapak kediaman yang termasuk dalam Pelan Struktur Kuala Lumpur 2040 (PSKL2040).
Pihaknya sedang merangka draf akhir Akta Pembangunan Semula Bandar bagi mengubah landskap bandar serta menghasilkan nilai pembangunan kasar (GDV) yang lebih baik.
"Tentunya kerajaan bersedia untuk bergerak seiring dalam pembangunan ini. Kami sedang melangkah ke arah Akta Pembangunan Semula Bandar. Semakan dan laporan berkaitan akta ini akan diumumkan tidak lama lagi.
"Kami amat menggalakkan semua pihak terlibat untuk bekerjasama dengan KPKT bagi pembangunan semula bandar yang akan meningkatkan ekonomi. Ia dijangka membawa lebih banyak peluang pekerjaan dan pelaburan sebaik akta baharu ini diluluskan," katanya.