ALOR SETAR, 4 September- PAS perlu berperanan menembusi benteng yang memisahkan parti itu dengan yang bukan Islam secara berhikmah.
Presidennya Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata PAS perlu mendekati serta bekerjasama bukan hanya dengan parti Melayu-Islam tetapi juga melangkaui parti dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bukan Islam melalui Dewan Himpunan Pendukung PAS (DHPP).
(Presiden PAS Tan Sri Abdul Hadi Awang / Foto Bernama)
“PAS hari ini ada DHPP. DHPP mesti berperanan dalam kalangan orang bukan Islam. Cari parti, cari NGO termasuk yang bukan Islam tetapi jangan cari yang berkelahi dengan kita,” katanya dalam ucapan penangguhan pada Muktamar Tahunan PAS ke-68 di sini hari ini.
Beliau juga berkata PAS perlu mendekati pengundi bukan Islam terutama yang tidak berparti untuk memilih calon Islam.
“Kalau DAP boleh lantik calon India di kawasan Cina, kenapa kita tak boleh tarik orang Cina sokong kita bila PRU, ini kelemahan yang perlu kita atasi,” katanya.
Setiausaha Agung PAS Datuk Seri Takiyuddin Hasan pula ketika ditemui media usai selesai muktamar itu mengesahkan rundingan mengenai Muafakat Nasional dengan UMNO dibincangkan secara rasmi dan tidak rasmi di peringkat tertentu.
"Apabila kita kata bincang dengan UMNO, tak semestinya dengan pemimpin-pemimpin tertentu, mungkin akan sampai ke arah itu tetapi macam biasalah, kita buat perundingan di peringkat tertentu yang tak perlu kita dedahkan," katanya tanpa mendedahkan individu yang terbabit dalam perbincangan itu.
Semalam, Timbalan Presiden UMNO Datuk Seri Mohamad Hasan berkata tiada sebarang rundingan oleh mana-mana pemimpin UMNO dengan PAS ketika ini seperti didakwa Abdul Hadi.- BERNAMA