PUTRAJAYA, 12 Mac- Kemudahan Pas Pelabur yang akan diberikan kepada pelawat perniagaan dan pelabur asing ke negara ini, akan dilaksanakan bermula 1 April ini.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, berkata, kemudahan itu diperkenal bagi memudahkan urusan pelabur asing.
"Pas Pelabur itu akan dilaksanakan melalui sistem Xpats Gateway dengan maklumat lanjut boleh dilayari menerusi laman sesawang Xpats Gateway.
"Melalui kemudahan itu, pelabur asing dibenar masuk ke negara ini untuk tempoh enam bulan dan boleh dilanjutkan sehingga enam bulan lagi, tertakluk kepada keperluan pemohon.
"Kemudahan visa entri berbilang (MEV) juga akan diberikan kepada pemegang pas berkenaan," katanya menerusi kenyataan.