Paras air tiga empangan di Melaka kekal selamat

Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan, Datuk
Hameed Mythin Kunju Basheer ditemui media selepas melakukan lawatan kerja di Empangan Durian Tunggal/RTM

DURIAN TUNGGAL, 9 Februari -Tiga empangan di Melaka berada pada paras selamat dengan sumber air di Empangan Durian Tunggal pada tahap 78 peratus, Empangan Jus 73 peratus dan Empangan Asahan 100 peratus.

RINGKASAN BERITA AI
  • Bekalan air dijangka mencukupi hingga Syawal berdasarkan pemantauan semasa.
  • Pelepasan air diatur dari empangan tertentu untuk menyokong loji rawatan air utama.
  • Langkah catuan akan dipertimbangkan jika paras empangan turun ke 65 peratus.
  • Kerajaan negeri dan BKSA menasihati orang ramai mengguna air secara berhemah.

Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan, Datuk Hameed Mythin Kunju Basheer berkata, bekalan air dijangka mencukupi hingga Syawal nanti.

Antara langkah yang diambil ialah pelepasan air dari Empangan Jus ke Sungai Batang Melaka bagi membekalkan air ke Loji Rawatan Air Gadek, manakala air dari Tasik Chinchin akan dilepaskan ke Sungai Kesang bagi menyokong operasi Loji Rawatan Air Merlimau dan Chinchin.”

“Kerajaan negeri mengambil langkah jika paras air turun pada paras 70 peratus di tiga empangan ini terutama Empangan Durian Tunggal. Kita akan mengambil langkah berhati-hati dan jika turun ke paras 65 peratus.

“Catuan akan dibuat namun demikian berdasarkan kadar sumber air di semua tasik atau kolam-kolam di Melaka ini mampu dicapai,” katanya kepada media selepas melakukan lawatan kerja di Empangan Durian Tunggal.

Tambahnya, hasil perbincangan bersama Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia), dijangkakan Melaka bakal menerima hujan pada April.

Bagaimanapun, kerajaan negeri menerusi Badan Kawal Selia Air (BKSA) akan sentiasa berjaga-jaga dan meminta orang ramai untuk menggunakan air dengan berhemah.