fb fb fb fb fb

Papar perlu 7 juta liter bekalan air bersih sehari

FOTO facebook Pejabat YB DARMA Ahli Parlimen Papar

PAPAR, 17 Mac- Papar memerlukan bekalan air bersih sekurang-kurangnya 7 juta liter sehari (JLH) bagi memenuhi keperluan penduduk di kawasan terjejas akibat kemarau susulan masalah bekalan air kritikal di daerah itu.

Ahli Parlimen Papar, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, setakat semalam, proses penghantaran air di kawasan terjejas hanya melibatkan sebanyak 1.18 JLH, jauh daripada kapasiti diperlukan penduduk.

''Kita akan berusaha lagi untuk memohon bantuan daripada pelbagai pihak termasuk kerajaan negeri dan pihak swasta dalam aspek membekalkan lori bersesuaian untuk menghantar bekalan air", katanya.

Datuk Armizan yang juga Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup ditemui media selepas meninjau proses penghantaran bekalan air bersih di Kampung Kuala Dalam Papar.

Pada Rabu lepas, Jabatan Pengurusan Bencana Daerah Papar mengisytiharkan daerah yang terletak kira-kira 38 kilometer dari Kota Kinabalu itu sebagai kawasan bencana kemarau berikutan krisis bekalan air berada pada tahap kritikal akibat cuaca panas.

Sebanyak 150,000 penduduk Papar terjejas akibat bencana itu, selain 42 kampung, tujuh sekolah, tujuh taman perumahan dan tiga rumah ibadat.

ROSLINA BINTI DIN