fb fb fb fb fb

Papar harga ubat bukan untuk kawal harga - Armizan

Armizan Mohd Ali pada program Hari Bersama NGO Kepenggunaan 2025 di Putrajaya hari ini/RTM

PUTRAJAYA, 14 Mac- Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Armizan Mohd Ali menegaskan bahawa perintah mewajibkan pemaparan harga ubat di premis perkhidmatan dan jualan produk kesihatan bukan bertujuan mengawal harga ubat.

Sebaliknya, langkah itu bertujuan memberi akses maklumat harga kepada pengguna agar mereka dapat membuat pilihan sebelum melakukan pembelian.

"Perintah ini sekadar mewajibkan pemaparan harga ubat supaya rakyat mempunyai akses terhadap maklumat dan hak untuk memilih. Ia bukan bertujuan mengawal harga ubat," katanya.

Menurut beliau, pemaparan harga ubat juga dilihat sebagai langkah membantu membendung kadar inflasi perubatan yang tinggi di negara ini.

Secara perbandingan, kadar inflasi perubatan Malaysia bagi tahun 2025 diunjurkan pada 15 peratus, lebih tinggi berbanding purata Asia Pasifik sebanyak 10 peratus dan purata global sebanyak 11 peratus.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri program Hari Bersama NGO Kepenggunaan 2025 di sini hari ini.

Pemaparan harga ubat itu akan dikuatkuasakan melalui perintah bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan (AKHP) 2011 (Akta 723).

SITI AISHAH MD ISA