Papan pemuka pantau perkembangan terkini MA63 dilancar

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof pada majlis pelancaran Papan Pemuka Status Pelaksanaan Perkara di Bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) di Parlimen/ BERNAMA 

KUALA LUMPUR, 28 Januari – Papan Pemuka Status Pelaksanaan Perkara di Bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) di bawah kendalian Bahagian Hal Ehwal Sabah dan Sarawak (BHESS) dilancarkan hari ini bagi meningkatkan pemahaman orang ramai terhadap intipati MA63.

RINGKASAN BERITA AI
  • Papan pemuka MA63 dilancarkan oleh BHESS untuk meningkatkan pemahaman orang ramai terhadap intipati MA63.
  • Portal bertujuan meredakan persepsi negatif dan mengurangkan kekeliruan mengenai status perkara MA63.
  • 13 perkara MA63 telah diselesaikan, manakala 15 perkara masih dalam peringkat perundingan.
  • Perundingan rumit kerana kaitan sejarah dan isu pembahagian bidang kuasa antara Persekutuan serta negeri.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata ia bagi meredakan persepsi negatif dan kekeliruan orang ramai terhadap status perkara-perkara di bawah MA63.

”Portal ini akan menunjukkan latar belakang berhubung kait dengan MA63 termasuklah perjanjian ajisi report dan semua detail-detail akan dapat siapa nak meneliti akan ada di situ kemudian juga segala aktiviti berhubung kait dengan Bahagian Hal Ehwal Sabah dan Sarawak dan juga pelaporan berhubung kait dengan status perundingan di bawah MA63,” katanya pada sidang media selepas melancarkan papan pemuka berkenaan di Parlimen, hari ini.

Jelas beliau, sebanyak 13 perkara di bawah MA63 telah berjaya diselesaikan, manakala 15 perkara lagi masih berada dalam peringkat perundingan antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Sabah serta Sarawak.

Proses rundingan tersebut disifatkan bukan sesuatu yang mudah memandangkan MA63 berkait rapat dengan sejarah pembentukan negara Malaysia.

Selain itu, pelaksanaan MA63 turut melibatkan isu pembahagian bidang kuasa, di mana terdapat perkara yang berada di bawah bidang kuasa Persekutuan dan sebahagian lagi di bawah bidang kuasa negeri.

Ia sekali gus memerlukan penelitian serta persetujuan bersama semua pihak terlibat.

Makan Sihat, Hidup Sihat: Bagaimana Ajinomoto (Malaysia) Berhad Membentuk Gaya Hidup Lebih Sihat di Malaysia

Artikel Tajaan