KUALA LUMPUR 31 Mei – Sebuah papan iklan digital di tepi Lebuhraya Persekutuan di Petaling Jaya dekat sini, dilaporkan terbakar dipercayai berlaku pada 1.25 tengah hari tadi.
Menerusi video kebakaran yang tular di media sosial menunjukkan asap hitam tebal berkepul-kepul dari papan iklan tersebut.
Selain itu terdapat beberapa pemilik akaun media sosial mendakwa ketika kejadian terdapat individu dikatakan pekerja yang melakukan kerja penyelenggaraan berada di bahagian atas papan tanda itu.
Berdasarkan video yang tular, individu terlibat dilihat menuruni papan iklan itu selain bomba sudah berada di lokasi kejadian untuk operasi memadamkan api.
Timbalan Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Supt M Hussin Sollehuddin Zolkifly mengesahkan kejadian kebakaran tersebut dan berkata siasatan lanjut sedang dijalankan.
Punca kebakaran masih belum dapat dipastikan namun Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, akan mengeluarkan kenyataan dalam masa terdekat.