Pangkalan udara bomba Miri mampu tampung keperluan Labuan

Datuk Aiman Athirah Sabu / BERNAMA

PARLIMEN, 23 Februari – Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) menegaskan komitmen berterusan dalam memperkasa serta memperluas perkhidmatan kebombaan kepada seluruh masyarakat merentas kepelbagaian geografi, termasuk di Wilayah Persekutuan Labuan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pangkalan udara JBPM di Miri kini menampung keperluan operasi kebombaan dan penyelamatan untuk Labuan.
  • Kedudukan strategik Miri sebagai titik tengah Sabah dan Sarawak meningkatkan kesiapsiagaan dan mobilisasi aset udara.
  • JBPM mengendalikan lapan aset udara dan tiga pangkalan udara yang sedang beroperasi di negara ini.
  • Kerjasama dengan industri melalui Labuan Emergency Mutual Aid memperkukuh tindak balas kecemasan sektor gas dan petroleum.

Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Aiman Athirah Sabu, berkata usaha berkenaan selari dengan Kerangka Strategik Malaysia MADANI bawah Teras Strategik 3 iaitu Meningkatkan Keselamatan Negara.

Menurut beliau, ketika ini Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) memiliki tiga pangkalan udara bomba yang sedang beroperasi iaitu Pangkalan Udara Wilayah Tengah di Subang, Selangor; Pangkalan Udara Wilayah Utara di Bertam, Pulau Pinang; serta Pangkalan Udara Wilayah Sarawak di Miri, Sarawak.

“Keseluruhannya, JBPM mempunyai lapan aset udara yang digunakan bagi operasi pemadaman dan penyelamatan di seluruh negara,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan yang dikemukakan Ahli Parlimen Labuan, Datuk Dr Suhaili Abdul Rahman berhubung cadangan menjadikan Labuan sebagai lokasi pangkalan udara bomba.

Mengulas lanjut, Datuk Aiman Athirah memaklumkan kementerian belum merancang untuk mewujudkan pangkalan udara baharu di Labuan memandangkan pangkalan sedia ada di Miri, Sarawak masih mampu memenuhi keperluan operasi kebombaan dan penyelamatan di Sabah, Sarawak serta Labuan.

Jelasnya, kedudukan strategik pangkalan udara di Miri yang terletak di titik tengah antara Sabah dan Sarawak memberi kelebihan dari segi kesiapsiagaan serta mobilisasi aset udara.

Dalam pada itu, statistik operasi penerbangan bagi tempoh 2020 hingga 2025 merekodkan sebanyak 161 permohonan penggunaan pesawat diterima, dengan Sarawak mencatat jumlah tertinggi, diikuti Sabah dan Labuan.

Bagi memperkukuh kesiapsiagaan khususnya melibatkan industri gas dan petroleum, JBPM turut bekerjasama dengan pemain industri menerusi penubuhan Labuan Emergency Mutual Aid (LEMA) bagi memastikan tindak balas kecemasan dapat dilaksanakan secara lebih efektif dan bersepadu.